Sunday, April 20, 2014





Zaman kanak-kanak adalah masa yang paling bahagia dalam hidup sesiapa sahaja termasuk kita yang telah melaluinya dan tak mungkin kita merasainya untuk kali kedua.Suasana pasti berbeza antara zaman kanak-kanak kita dengan zaman mereka.Cuma naluri setiap kanak-kanak yang merentasi masa ialah mahu bermain,mahu berlumba,mahu menang dan jika  diberi peluang mahu dijulang namanya...hebat di kalangan sesama mereka.
Adakah mereka mendapat peluang seperti kita?Meredah ke serata pelusuk dan mengenali setiap ceruk kampung.Tiada tanah yang tak pernah kupijak.Tiada paya yang tak pernah kujejak.Haiwan dan tumbuhan turut mewarnai hidup sehari-hari.Di mana pucuk paku nak dicari,di mana ikan sepilai boleh ditemui dan di paya mana nak timba ikan puyu atau haruan.Semuanya masih kuingati.
Sesekali bersama mereka...bermain permainan yang diolah semula dengan alatan ala-kadar.Sediakan sedikit minuman dan hadiah...mampu menceriakan mereka.
Bukan semua di kalangan mereka mampu untuk bermain di arena bowling...untuk duduk di cyber-cafe yang lebih memberi kesan buruk.
Hidupkan kembali sukan kampung seperti ini.

Thursday, March 27, 2014

Kg Keladi,27 Mac - Pakngah Abu @ Abu Saad bin Ramli telah selamat disembahyang dan disemadikan di tanah perkuburan Masjid Abdul Rahman Putra,Kg Keladi jam 11.30 pagi tadi.Ucapan takziah kepada keluarga allahyarham...alFatihah.

Monday, March 24, 2014

Jumaat,Mac 21 -Aku terserempak dengan seekor biawak yang sedang berkeliaran mencari mangsa.Berapa berat tak kuketahui tapi memang besar...panjangnya dalam 1.5 meter.Aku hanya nampak makhluk ini menyusup ke dalam paya berhampiran masjid Abdul Rahman Putra.Awas!Makhluk ini mungkin akan mencari mangsanya pada bila-bila masa. 

Saturday, September 14, 2013

Jambatan Runtuh

Jumaat,13 September - Jambatan yang menghubungkan Kampung Keladi dengan Kampung Seberang Bukit Kukus dan Kulim Square telah runtuh beberapa hari yang lalu akibat dari arus kuat sungai yang menghakis tebing di kiri dan kanan jambatan.
Menurut sumber dari penduduk tempatan,hakisan tebing sungai telah berlaku sejak projek mengaut pasir dijalankan di dua tempat di bahagian atas Sungai Kulim.
Penduduk yang berulang-alik menghantar anak-anak ke Sekolah Kebangsaan Keladi dan Sekolah Menengah Kebangsaan Keladi amat mengharapkan agar pihak yang berkaitan dapat bertindak segera membaiki jambatan tersebut.Siasatan dan kajian terperinci hendaklah dilakukan berkenaan kesan projek mengaut pasir terhadap alam sekitar terutama kejadian tebing-tebing yang terhakis dan runtuh di sepanjang sungai.Persoalan lain yang timbul,adakah pembinaan jambatan ini memenuhi spesifikasi yang ditetapkan?

Monday, December 3, 2012

Kulim,29 November 2012 - YB Dato Haji Amiruddin Hamzah,Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan,Perumahan,Kerjaraya,Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Kedah berucap dalam majlis pelancaran Kempen 1 Rumah 10 Pokok Daerah Kulim di Kg Keladi kelmarin.Usaha-usaha berterusan Kerajaan Kedah melalui inisiatif Jabatan Pertanian Negeri Kedah dengan penyertaan aktif rakyat dengan tanaman terpilih dijangka dapat menambah jumlah pengeluaran hasil tani tanpa melibatkan penerokaan tanah baru.
Setiap peserta akan diberikan 10 batang benih pokok nangka yang akan ditanam di sekitar kawasan rumah dengan penyeliaan dari Jabatan Pertanian di samping bantuan baja dan racun.Dijangka perolehan dapat dinikmati setelah tanaman berusia 3 tahun.
Bayangkan jika 10 orang peserta di sesebuah kampung menyertai kempen ini.Dengan jumlah 100 batang pokok akan mengeluarkan hasil yang agak besar.
Semoga usaha ini akan berjaya menjadikan Kulim sebagai daerah pengeluar nangka terbesar di Malaysia.

Tuesday, May 17, 2011

Hari Guru

16 Mei setiap tahun disambut meriah oleh seluruh warga guru.Sekadar beberapa nama guru yang pernah berjasa kepadaku hingga aku menjadi seorang guru seperti mereka.Almarhum Cikgu Berahim Putih,Almarhumah Cikgu Gayah,Almarhum Cikgu Saad Lazim dan ramai lagi telah pergi buat selama-lamanya.Buat mereka kupanjatkan doa ke hadrat Allah agar mereka dinaungi rahmat dan kesejahteraan di sisiNya.

Thursday, April 28, 2011

Penuh Keberkatan


 Khamis,Kg Keladi - Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Kulim 2011/1432H telah berlangsung di Masjid Abdul Rahman Putra Kg Keladi semalam.Majlis dirasmikan oleh Pegawai Daerah Kulim,Dato Haji Mat Noh bin Ahmad.Dalam ucapannya,beliau menyeru agar seluruh masyarakat Islam kembali menghayati Al-Quran kerana mukjizat ini diturunkan untuk menjadi petunjuk kepada manusia.Tiga orang qari dan empat qariah telah memperdengarkan bacaan.Mohd Hafizi bin Mohd Zuki telah muncul qari tilawah terbaik, manakala Ustazah Azimah binti Abdul Ghani sebagai qariah terbaik.