Sunday, March 20, 2011

Mesyuarat Agung Anak-Anak Kariah Masjidku 2011

Kg Keladi,18 Mac - Berlangsung Mesyuarat Agung Tahunan 2011 Anak-Anak Kariah Masjid Abdul Rahman Putra Kg Keladi,Kulim,Kedah.Pembentangan Laporan Tahunan dan Laporan Penyata Kewangan menunjukkan prestasi yang amat memberansangkan telah dilakukan oleh Pengerusi dan semua Ahli-ahli Jawatankuasa.Kedudukan kewangan menghampiri suku juta merupakan petunjuk positif ke arah kemajuan masjid kita di masa hadapan.Pengerusi Kariah yang juga Imam Masjid Kg Keladi,Tuan Haji Yaakob Abd Rahman menyeru anak-anak kariah mengambil peluang menimba ilmu agama dengan menghadiri kuliah-kuliah agama pada setiap malam.Berbagai aktiviti telah disusun atur untuk semua peringkat. 

Saturday, March 5, 2011

Bicara Seorang Mursyid

Sebaik selesai solat Subuh berjemaah di masjidku,beliau dijemput menyampaikan kuliah.Walaupun dalam masa yang agak singkat beliau berceramah,namun berkesan di hatiku.Harap-harap begitu jugalah dengan sekelian jemaah yang lain.Antara nasihat yang diungkapkan ialah jadilah manusia yang bersyukur kepada Allah..jadilah manusia yang sabar dengan ujian Allah..jadilah manusia yang amanah.Sebagai seorang yang cacat penglihatan,Tuan Guru Haji Saudi Haji Ahmad dari Pondok Kokpo,Wilayah Pattani ini bersyukur beliau terhindar dari maksiat mata seperti mana dilakukan oleh orang-orang yang sempurna pancaindera. Beliau turut mengajak jemaah untuk mengamalkan zikir-zikir harian bagi memantapkan keimanan.Sebelum menutup bicara kuliahnya,beliau sempat menitip kifiat untuk pesakit-pesakit diabetis menggunakan kulit pokok setol.



Beliau akan terus bermusafir,berdakwah dan berjualan demi untuk pembangunan pondok pengajiannya di Pattani.Semoga Tuan Guru akan sentiasa dinaungi rahmat Allah dan jadikan masjid kami ini sebagai tempat persinggahanmu yang turut akan dapat menikmati limpahan keberkatan.Alhamdulillah....

Friday, March 4, 2011

Pemimpin Masa Lalu

Di sini kupaparkan sekeping gambar wajah-wajah puluhan tahun yang silam yang mewarnai sejarah bumi desaku tercinta.Sebahagian besarnya memang amat kukenali termasuk ayahandaku sendiri.Mereka bukan asing kepadaku.Sejauh mana pun hubungan itu,mereka tetap sanak-saudaraku juga.Mereka telah mencorakkan kehidupan penduduk di khariah ini.Mereka pemimpin hebat masa itu.Kini mereka telah tiada.Cuma ayahandaku yang masih bertahan mengharung usia. Sejarah silam sukar dipadam.Ayahanda masih ingat semua itu.Ayahanda sering bercerita pada tiap malam tatkala aku menziarahinya.Perjalanan waktu yang panjang penuh dengan duka derita akan kutitipkan untuk tatapan generasi baru..anak-anakku..jika diizinkan Allah.Jumpa lagi.
Orang kampungku memanggilnya jelapang.Di tempat lain ianya disebut kepuk,tempat menyimpan padi yang telah siap dituai.Sejak sekian lama,hampir tiga puluh tahun tidak diguna dan keadaannya pun semakin mereput di celah-celah arus pembangunan.Kampungku juga telah banyak berubah.Dari "motong getah" dan bersawah bendang,orang-orang kampungku kini lebih selesa bekerja di kilang-kilang yang tumbuh bersepah. Tiada lagi bau masam cuka dan sekerap getah.Tiada lagi bunyi goncangan tin-tin susu menghalau burung cak di bendang.Imbauan kenangan di masa kecilku bersama kawan-kawan sekolah terlalu indah dan amat bermakna dalam hidupku.Berseluar pendek,berkaki ayam dan secabang "terbey" atau lastik,kami menjelajah ke serata pelusuk kampung.Tapi sebenarnya aku tak pernah mencederakan walau seekor haiwan pun dengan terbey yang aku miliki.Sasaranku cuma buah-buah kayu.
Damai dan tenang walaupun dicengkam kepayahan.

Pak Hussin Tukang Gunting Rambut

Usianya sudah menjangkau 60an.Sarat dengan pengalaman dari remaja hinggalah ke zaman tua,Pak Hussin tetap dengan kerjayanya sebagai tukang gunting rambut.Di sekitar Kulim,sudah beberapa lokasi Pak Hussin berubah pindah,namun pelanggannya tetap mengikut sama.Sejak Pak Hussin ditimpa kemalangan,beliau terpaksa menjalankan tugasnya di rumah di Kampung Pondok Labu,Keladi.Dengan tenaga usang yang masih tinggal,Pak Hussin tabah mencari nafkah.Setiap pelanggan yang datang termasuk aku dilayan dengan mesra.Anak kelahiran Kuala Kangsar ini
sering mengimbau kenangan lamanya berhijrah dari satu tempat ke satu tempat,berkongsi cerita dengan para pelanggannya.Sesekali berderai gelak-tawa bila Pak Hussin selitkan dengan pantun jenakanya.Selama hampir satu jam aku bergunting dengannya,tak sedar masa berlalu.Sekian lamanya hanya Pak Hussin satu-satunya tukang gunting rambut di kampungku.